Taklimat Klik dengan Bijak- Scammer “Keldai Akaun”
12 Februari 2023 | Aktiviti TerkiniPada 12 Febuari 2023, Ahad yang lalu - PEDi Batu Gajah telah bekerjasama bersama PEDi Batu Lawang, PEDi Kg. Karangan dan PEDi Repek dalam satu sesi perkongsian secara langsung di Streamyard dan FB untuk mengupas topik Scammer-Keldai Akaun. Taklimat ini dijalankan selama satu (1) jam bermula jam 11.10 pagi hingga 12.10 tengahari.Program di kendalikan oleh Pengurus PEDi Batu Gajah,Cik Hanani. Definisi keldai akaun adalah akaun bank yang digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela oleh pemilik akaun tersebut bagi mendapatkan habuan mahupun dengan cara penipuan untuk transaksi kewangan yang tidak sah atau menyalahi undang-undang. Sindiket biasanya mendapatkan akaun keldai (juga dikenali sebagai akaun tumpang) ini dengan memperdaya golongan yang memerlukan pendapatan lebihan serta mempunyai tahap celik kewangan yang rendah. Antara golongan yang sering menjadi mangsa termasuklah suri rumah, penganggur, pelajar dan warga emas.
Mangsa mudah terpedaya dengan tawaran upah lumayan mencecah ribuan ringgit untuk membuka atau menyerahkan akaun bank bagi kegunaan pihak ketiga dan kebanyakannya ditawarkan upah oleh pihak sindiket sehingga melebihi RM1,000 sebulan untuk menggunakan akaun bank mereka. Terdapat juga modus operandi yang menggunakan tawaran peluang pekerjaan sebagai cara bagi mendapatkan akses kepada akaun bank mangsa. Mangsa dikehendaki menyerahkan butiran akaun bank termasuklah nombor PIN kad ATM sebagai syarat diterima bekerja dengan pihak sindiket akaun keldai. Malah, terdapat juga syarikat peminjam wang tidak berlesen yang memperdaya peminjam untuk menyerahkan akaun bank mereka sebagai cagaran pinjaman tersebut. Namun pada hakikatnya, pihak sindiket menggunakan akaun bank sebagai akaun keldai.
Setiap pemegang akaun bank bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa jua transaksi dan maklumat perbankan peribadi mereka. Pemegang akaun tidak sepatutnya mendedahkan atau berkongsi apa jua maklumat perbankan peribadi dengan orang lain. Juga, pemegang akaun tidak seharusnya memberi maklumat perbankan peribadi mereka sewenang-wenangnya untuk apa-apa tujuan sekalipun, walaupun untuk tujuan permohonan pekerjaan mahupun pinjaman dengan mana-mana pihak. Selidik terlebih dahulu latar belakang dengan siapa kita berinteraksi.
Sekiranya seseorang terjebak menjadi pemegang akaun keldai, individu tersebut boleh disekat daripada menggunakan akaun bank tersebut dan akaun berkenaan boleh ditutup oleh pihak bank. Individu tersebut akan mengalamai kesukaran berurusan dengan bank di masa hadapan. Malah, pemegang akaun keldai boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah sekira terbukti dengan sengaja menjadikan diri alat untuk melakukan transaksi menyokong aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Justeru itu, amatlah penting untuk orang ramai mengelakkan diri daripada membiarkan pihak sindiket menggunakan akaun bank mereka sebagai akaun keldai. Pesanlah kepada rakan taulan dan sanak saudara supaya kita tidak terjebak dengan akaun keldai ini sama sekali.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: