Program Pengurusan Jenazah & Majlis Kesyukuran
16 Februari 2020 | Aktiviti TerkiniPihak pengurusan Masjid telah mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah & Majlis Kesyukuran pada 15 Februari 2020 yang bermula pada jam 10.00 pagi sehingga jam 1.30 tengahari. Program ini bertujuan untuk mendedahkan masyarakat tentang pentingnya ilmu fardhu kifayah dan menambahkan ilmu pengetahuan agar lebih bersedia dalam memberi khidmat terakhir kepada waris atau saudara seagama semasa kematian. Pengisian slot bukan sahaja melibatkan pengurusan jenazah sahaja, tetapi penceramah turut mengambil kesempatan untuk menyentuh soal amalan-amalan bidaah dalam pengurusan jenazah. Aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut ialah ceramah tentang tanda-tanda kematian, adab terhadap orang yang meninggal dunia, cara memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, menyembahyangkan jenazah dan mengebumikan jenazah.
Selain itu, aspek praktikal turut dilakukan terutamanya berkenaan cara untuk mengkafankan jenazah. Majlis Kesyukuran pula diadakan sempena penerimaan sebuah van jenazah yang disumbangkan oleh Tabung Haji kepada Masjid bagi kegunaan penduduk kampung. Bagi menunjukkan rasa berterima kasih pihak masjid telah menjemput pihak Tabung Haji untuk bersama-sama dalam program ini. Di akhir program ini, diharapkan agar program ini dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang cara untuk menguruskan kematian berdasarkan kepada pendedahan oleh penceramah jemputan dan memudahkan masyarakat untuk menguruskan kematian dengan menggunakan van jenazah yang telah diberikan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: