Kursus Latihan Pengendali Makanan oleh SLPM (Online)
12 Oktober 2020 | Aktiviti TerkiniSering kali kita terlihat pengendali makanan di premis-premis makanan mengabaikan keperluan pengendalian makanan yang bersih dan selamat di premis-premis makanan. Contohnya seorang penebar roti canai menghisap rokok semasa menyediakan roti canai di warung atau seorang operator makanan menggaru kepala ketika memproses mi di kilang makanan. Mungkin ia kelihatan remeh tetapi amalan-amalan buruk ini boleh menyumbang kepada pencemaran terhadap makanan. Bagi mereka yang peka tentang amalan-amalan buruk yang dilakukan oleh pengendali makanan tersebut pasti akan membatalkan hasrat membeli makanan di premis tersebut tetapi perkara ini jarang berlaku. Menyedari hakikat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan semua pengendali makanan menjalani Latihan Pengendali Makanan (LPM) di mana-mana institusi yang diiktiraf oleh KKM melalui Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.
Dengan itu, sejajar dengan keperluan dan kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak Pusat Internet Lawang dan Batu Gajah telah menganjurkan kursus Latihan Pengendali Makanan ini dengan kerjasama Puan Nur Nadiah Shahrom dari Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM). Kursus yang berlangsung selama 4 jam ini telah disertai oleh tiga (3) orang peserta dari PI Batu Gajah.
Objektif LPM secara amnya adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada semua pengendali makanan di sektor perkhidmatan dan industri makanan. LPM juga menekankan aspek-aspek asas dalam kebersihan dan keselamatan makanan, termasuk diri pengendali dan premis makanan. Secara tidak langsung, kejadian keracunan makanan di seluruh negara dapat dikurangkan. Melalui LPM ini juga, pengendali makanan akan dilatih oleh tenaga pengajar menggunakan modul pengajaran yang disediakan oleh KKM. Sijil kehadiran kursus akan diberikan kepada pengendali makanan yang menghadiri kursus LPM mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: