Perkongsian Bicara Santai. Dadah : Punca & Akibatnya
28 Disember 2020 | Aktiviti TerkiniPada 27 Disember 2020, Pusat Internet Komuniti Batu Gajah bersama PIK Kampung Lawang dan PIK Kampung Karangan telah mengadakan sesi bicara santai secara online melalui Stream Yard Live berkaitan dengan isu penyalahgunaan dadah dan akibatnya. Program ini berlangsung selama 2 jam bagi mengupas pelbagai isu berkaitan dadah. Pihak PIK telah menjemput Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Jeli untuk bersama-sama mengupas isu ini dengan lebih mendalam. Pihak AADK telah diwakili oleh Encik Mohd Aris Fadzillah Bin Mohammad Hassan yang merupakan Ketua Pegawai AADK Daerah Jeli. Dalam sesi ini, pelbagai isu telah dibincangkan antaranya adalah berkaitan punca penyalahgunaan dadah di negeri kelantan. Menurut AADK, fenomena penyalahgunaan dadah bukan hanya melibatkan golongan dewasa dan belia tetapi gejala ini telah merebak di kalangan golongan remaja termasuk kanak-kanak dan murid-murid di sekolah. Perkara ini berpunca daripada kurang pengawasan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan perasaan ingin mencuba perkara baru. Pengambilan dadah boleh menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada individu seperti menjejaskan kualiti kerja, sukar mengawal perasaan marah, mengelakkan diri daripada tanggungjawab,kemerosotan paras rupa dan kebersihan diri,hilang selera makan, mata berkaca-kaca dan berair atau mata yang redup dan kuyu. Selain itu, individu yang terlibat dengan dadah juga boleh dikesan apabila terdapat kesan parut atau bekas suntikan di lengan dan di hujung jari bertukar warna akibat menghisap ganja, gemar meminta wang secara berlebihan daripada ahli keluarga, suka meminjam daripada kawan-kawan atau mencuri barang-barang yang mudah dijual dan sebagainya. Di akhir program ini, pihak AADK juga telah berkongsi maklumat berkaitan peningkatan kes yang berlaku di peringkat negeri dan meminta masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan bagi mengurangkan masalah penggunaan dadah dalam kalangan komuniti.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: